Showing posts with label peristiwa. Show all posts
Showing posts with label peristiwa. Show all posts

Thursday, 1 September 2011

Pengertian dan keutamaan Syawal


 

Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan itu adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal, di antaranya:

1. Bulan Syawal adalah bulan keampunan. 

Sabda Rasulullah s.a.w dan Ibnu Mas'ud r.a. yang maksudnya:

"Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidil Fitri, Allah Taala berfirman: 

"Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Hari Rayajuga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka." 

Lalu ada seruan: "Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.” 

Maka Allah Taala berfirman: "Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni."
(ZubdatulWa'izhiina)

Syaitan dan nafsu sentiasa berusaha untuk melalaikan manusia supaya terpesong dan jauh dari rahmat dan keampunan Allah s.w.t. Dari Wahab bin Munabbih, bahawa dia berkata: Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya Iblis yang dilaknat Allah itu berteriak pada setiap hari Raya, maka para bala tenteranya berkumpul di sekitarnya sambil berkata: "Wahai sri baginda kami, siapakah yang menjadikan baginda murka, maka sesungguhnya dia akan kami hancurkan." 

Iblis berkata: "Tidak ada sesuatu pun. Akan tetapi Allah Taala pada hari ini telah mengampuni umat ini. Maka kamu semua harus membuat mereka sibuk dengan segala macam yang lazat-lazat, dengan syahwat dan dengan minum khamar, sehingga Allah murka kepadanya."

Orang-orang yang berakal hendaknya dapat menahan dirinya pada hari Raya, dari segala macam nafsu syahwat serta dari segala yang dilarang, bahkan hendaknya selalu taat untuk-Nya.

2. Bulan yang dikabulkan doa dan Allah s.w.t melihat dengan rahmat kasih sayangNya. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Hari Raya Fitri dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang."
(Durratul Wa'izhiina)

Awal pagi Syawal kita disunatkan sembahyang hari raya dan Allah s.w.t menjanjikan keredaan dan kempunan-Nya. Berkata Nabi s.a.w:

"Apabila Hari Raya Fitri, maka Allah mengirim para Malaikat. Maka para Malaikat sama-sama turun ke bumi di setiap daerah, lalu mereka berkata: "Hai umat Muhammad, keluarlah kamu semua kepada Tuhan Yang Maha Mulial" Maka ketika mereka teldh tampak keluar ke tempat solat mereka, 

Allah berfirman: "Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku."

3. Bulan yang merupakan peringatan kepada hari akhirat. 

Dikatakan juga:

"Sesungguhnya hikmah Hari Raya di dunia ini merupakan peringatan terhadap Hari Raya di akhirat. Apabila engkau melihat orang-orang, sebahagian dari mereka adayangpergi dengan berjalan, sebahagian lagi ada yang berkenderaan, sebahagian dari mereka ada yang berpakaian dan adajuga yang tidak berpakaian, sebahagian mereka ada yang memakai pakaian yang indah dan sebahagian yang lain ada beropakaian biasa dan sebahagian ada yang tertawa riang dan sebahagian lainnya ada yang menangis, maka ingatlah perjalanan di hari kiamat, sesungguhnya hai itupun demikian pula."


Sunday, 21 August 2011

Lailatulqadar : Ketidakpastian Yang Disengajakan

"Jibril datang kepadaku dan berkata, 'Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadan, namun setalah bulan itu habis dan dia tidak mendapat ampunan, maka jika mati dia masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan Amin! Aku pun mengatakan : Amin ! " (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya)

Menanti sebuah malam.  Menanti atau mencari dan memburunya ? Lailatulqadar ialah malam yg pasti datang. jika menantinya itu hanya sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.

Entahlah pada malam 21 atau malam 23 atau malam-malam ganjil yang lain lailatulqadar dianugerahkan.
Sembilan Ramadan yang ditempuh Rasulullah S.A.W sepanjang hayat baginda selepas pensyariatan ibadah puasa, menyebabkan riwayat-riwayat tentang lailatulqadar hanya tersimpul sbg suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadan itu.


"Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam lailatulqadar?" 

Soalnya, bagaiman kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan ? Ia bukan kejahilan, bahkan ada rahsia besar di sebalik semuanya.?

Lebih mudah untuk kita analogikan, seorang yang makan gaji dengan seorang yang berniaga sendiri. orang yang makan gaji,pendapatannya tetap setiap hujung bulan. sama ada dirinya produktif atau tidak, hasilnya sama.Malah ramai yang mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan tidur dan pulang awal kerana hasil pendapatannya tetap sama.

Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan kesungguhan dan produktiviti,seiring dengan kurangnya rasa bersyukur atas kurniaan.

Berbeza pula dengan berniaga sendiri. Penghasilannya bergantung pada kesungguhan,kerajinan dan produktiviti masing-masing. Kuat kerja byk hasilnya. Sedikit usaha terjejaslah pendapatannya.

Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan. itu sifirnya. Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.

Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar lailatulqadar yg tidak pasti itu pada malam-malam yg tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Lailatulqadar.

Kesungguhan itulah pelengkap proses TAKWA.

Kesungguhan yg diperlukan utk sebuah kehidupan yg pasti ada jangka masa, tetapi persoaln bila itu dibiarkan sbg sebuah ketidakpastian. mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang Mukmin memajukan sebuah kehidupan.

Nabi S.A.W jg memberi peringatan kpd kita agar mengerjakan solat dengan "SOLAT PERPISAHAN". Bayangkan setiap solat yg didirikan sbg solat terakhir, demikian jg ramadan apakah masih ada ramadan seterusnya untuk kita, kerana mati itu tidak pasti bila.

Ketidakpastian yg mendesak mendorong kepada kesungguhan dan perubahan. suatu hikmah disebalik satu ketetapan . =)

Monday, 4 July 2011

Israk mikraj..


Ringkasan Peristiwa Israk Dan Mikraj



 Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.
  
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
i.      Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii.     Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii.    Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
§       Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
§       Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§       Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§       Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§       Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§       Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§       Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
§       Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§       Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§       Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§       Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§       Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§       Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

 Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i.    Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii.    Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii.   Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv.
   Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

 v.
   Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi.   Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii.    Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

viii.   Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

ix.   Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

 x.     Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T     :       Ya Muhammad. 

Rasulullah        :       Labbaika.  

Allah S.W.T     :       Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah        :       Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. 

Allah S.W.T     :       Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang. 

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

 Selepas Mikraj


Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)


Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.


Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).