Sunday 25 September 2011

Metodologi Dakwah

Bismillah walhamdulillah....

Pada dasarnya dakwah mestilah dilakukan tanpa kekerasan kerana Islam tidak membolehkan kekerasan atau paksaan dalam agama seperti Firman Allah :

“Tiada paksaan dalam beragama(masuk Islam). Sesungguhnya sudah nyata petunjuk dari kesesatan”. (Al-Baqarah : 256)

Menurut al-Mawdudi, paksaan akan melahirkan nifaq dan munafiq kerana dakwah adalah mengajak dengan kesedaran. Namun demikian, terkadang diperlukan kekerasan untuk menjaga kemuliaaan agama atau untuk memelihara masyarakat, negara dan sebagainya. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah :

“Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak sangggup dengan lidahnya. Jika ia tidak sanggup, maka dengan hatinya dan ini adalah iman yang paling lemah. ” (Hadis Sahih Muslim)

Dakwah yang hendak dilakukan hendaklah mengikut metodologi yang diikuti oleh para Nabi dan Rasul, disamping menyesuaikannya dengan perubahan zaman dan persekitaran, mengikut apa yang terbaik untuk zaman dan masyarakat tersebut. Dakwah boleh disampaikan secara lisan, tulisan atau memanfaatkan dari perkembangan teknologi maklumat yang wujud pada masa kini. Secara dasarnya, al-Quran telah memperjelaskan tiga cara dakwah yang efektif, seperti Firman Allah yang bermaksud :

“Serulah kepada jalan tuhan kamu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. ” (Al-Nahl; 125)

Ahli tafsir tela menghuraikan maksud tiga cara tersebut :

1. Hikmah : Iaitu keterangan yang jitu dan tepat yang dapat meyakinkan dan menghilangkan keraguan, dengan memasukkan roh tauhid dengan akidah iman, dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang jelas sehingga meyakinkan akal. Termasuk dalam hikmah ialah dengan menggunakan susunan kata-kata yang biasa dan senang diterima akal dan bukannya menggunakan kata-kata yang tidak difahami atau sukar difahami oleh penerima dakwah sepertimana yang dilakukan oleh Rasullullah saw.

2. Nasihat Yang Baik(Mauizah Hasanah) : Iaitu huraian–huraian yang memberi petunjuk dan nasihat yang dapat menyedarkan dan membuka pintu hati untuk mentaati semua pertunjuk Islam. Huraian-huraian ini dilakukan dengan jelas dan tanpa menyakitkan hati orang lain. Metode ini ditujukan kepada orang-orang yang menerima dan sudah komited dengan prinsip dan fikrah Islam. Mereka tidak memerlukan kecuali nasihat untuk mengingatkan, memperlembutkan hati, dan menjernihkan segala kekeruhan yang wujud.

3. Berdialog Dengan Cara Yang Baik : Iaitu memberi hujah atau bukti-bukti yang dapat menolak sanggahan dan pendapat lawan. Menurut Amin Ahsan Ishlahi, metode mujadalah hasanah adalah metode yang diizinkan oleh al-Quran, iaitu dengan pendakwah memberi penjelasan kepada pihak lawan dengan menggunakan prinsip-prinsip dan kesimpulan logik agar dapat mereka merenungkannya, menerima kebenaran atau tidak menentang seruan dakwah lagi.

No comments:

Post a Comment